Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

**KHIDMAT KASIH**KHIDMAT KASIH**

Saddi menyampaikan bantuan peralatan masjid yang disumbangkan oleh pihak Jahiens dan Adun Sukau kepada Pengerusi JKKK Kg. Sungai Madang, Maru Surah, sambil diperhatikan Awang Sataria, Sharin dan Nasran

Yb Saddi menyampaikan peralatan pembesar suara masjid Sepinong kepada pemaju mukim, Awang Kassim

Imam Masjid Daerah, Naim Taslim membaca doa berbuka puasa bersama Saddi dan penduduk Kampung Sepinong

JKKK PERLU BIJAK MENGUBAH EKONOMI MASYARAKAT LUAR BANDAR
SUKAU: Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Saddi Haji Abdul Rahman berkata, kemampuan dan kebijaksanaan para pemimpin JKKK amat diperlukan ke arah perubahan dan pencapaian masa depan ekonomi sebuah masyarakat luar bandar Sukau yang lebih dinamik.

Saddi berkata, gagasan itu tidak memerlukan mana-mana pemimpin akar umbi itu yang tidak beramanah, membuang masa dan bersikap retorik kepada rakyat, bertentangan landasan perjuangan Barisan Nasional (BN) di Sabah.

“ Dalam kepimpinan saya yang juga diberi amanah rakyat, saya tidak mengharapkan pemimpin JKKK atau mana-mana kakitangan di bawah jagaan saya yang mencari kesempatan, tidak produktif, gagal menangani isu-isu pembangunan atau sanggup mempergunakan rakyat.

“ Kerana semua ini akan dipulangkan kepada saya dan BN bila tiba musim pilihanraya. BN sendiri menyediakan pernilaian terhadap peranan saya di bawah Indeks Pernialaian Prestasi (KPI) dalam menentukan kemampuan saya selama diberi tanggungjawab,” katanya.

Berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Zakat kepada 84 orang penerima dalam Mukim Lubukan di Balairaya Kampung Sepinong, kawasan Persisiran Pantai Dun Sukau yang diletakkan di bawah tadbiran Majlis Perbandaran Sandakan, Saddi berkata, beliau sendiri akan terus memantau kemajuan kampung-kampung di seluruh Sukau bagi menilai sejauhmana peranan dan khidmat yang disumbangkan semua badan JKKK.

Jelas Saddi, beliau sendiri akan mendengar segala penjelasan dan rintihan rakyat tentang apa yang sudah dilakukan mana-mana pemimpin akar umbi, termasuklah menilai samada permintaan rakyat yang ditunaikan benar-benar sampai ke peringkat sasaran atau sebaliknya.

“ Syukurlah sehingga setahun lebih saya berkhidmat, tidak terlalu banyak kerenah negatif yang timbul dan dihadapi rakyat. Sebaliknya semakin ramai pemimpin JKKK yang bersemangat tinggi menjalankan khidmat dan tanggungjawab. Peranan mereka akan lebih baik jika mendapat sokongan,” katanya.

Pada dasarnya, kata Saddi, falsafah dan tanggungjawab di bawah khidmat badan-badan JKKK itu menjadi asas membangunkan negara di sini, menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), salah satu pendekatan pusat membangunkan rakyat di luar bandar Sabah dan Sarawak di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, dengan perbelanjaan melebihi RM 5 bilion pada tempoh ditetapkan.

Menghargai peranan Naib Presiden Umno, Datuk Mohd Shafie Afdal, seorang anak jati Sabah yang menjawat menteri berkenaan, kata Saddi, di bawah NKRA, pihaknya akan menambah cadangan projek pembangunan kawasan Sukau pada fasa kedua dalam sedikit masa, berbanding lebih RM 8 juta yang sudah dikemukakan pada fasa pertama baru-baru ini.

“ Semua peruntukan tidak mengabaikan keperluan masyarakat nelayan di Zon Lubukan agar keupayaan ini menaiktaraf sosioekonomi mereka sekaligus menguntungkan negeri dan kerajaan,” katanya.

Untuk tujuan itu, kata Saddi, beliau menetapkan sehingga 15 September ini agar mana-mana pemimpin JKKK menyediakan cadangan masing-masing untuk dkemukakan kepada pusat.

Sempena bulan Ramadhan ini, kata Saddi lagi, pihak kerajaan termasuk beliau akan sedaya upaya menyediakan program bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

Sebagaimana tahun lalu, Saddi menyumbangkan beberapa bantuan bekalan termasuk ingin generator, atap-atap zink dan peralatan masjid kepada kampung-kampung nelayan di kawasan mukim itu, diikuti sumbangan wang peribadi kepada beberapa golongan yang memerlukan bantuan.

Beliau juga menyatakan terima kasih kepada Tabung Zakat Sabah kerana menyalurkan bantuan wang tunai kepada rakyat memerlukan dan berharap sumbangan itu berkurangan tahun depan kerana perubahan ekonomi lebih baik dimiliki oleh masyarakat terlibat.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Islam Sabah (Jaheins), Awang Satria Haji Abdullah, Imam Masjid Daerah, Naim Taslim, Pegawai Tabung Zakat Sabah cawangan di sini, Sophian dan kakitangan UPKR Sukau diketuai PKRnya Sharin Haji Abdul Rahman.

Selesai.

Ramadan asas memperbetulkan sikap, aqidah serta iltizam yang tinggi untuk kita merubah masa depan




Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, masyarakat Islam khususnya rakyat tempatan di sini mempunyai tanggungjawab menukarkan imej negatif yang kerap dilabelkan kepada mereka sebagai golongan yang tidak gigih berusaha dan menyerahkan masa depan kepada kerajaan.

Katanya, kalangan rakyat itu perlu bangkit memperbetulkan asas dan halatuju mereka agar kehidupan generasi tempatan kelak lebih terpelihara, tidak terlibat dengan gejala negatif kesan daripada masalah ekonomi, sehingga ada yang merempat di tanahair sendiri.

“ Apa yang saya harapkan agar rakyat tempatan yang masih menetap di sekitar Gumantong jaya dan Zon Sukau ini boleh merubah sikap mereka. Tukarkanlah imej kampung ini daripada pelbagai masalah termasuklah menangani gejala penagihan dadah di kalangan belia yang diketahui sebelumnya..

“ Kita mempunyai banyak pendekatan merubah sebuah kampung. Yang penting rakyat sedia berusaha dan berkerjasama. Kerajaan yang masih kuat seperti Barisan Nasional (BN) mampu memberikan apa saja khidmat sebaiknya,” katanya.

Berucap pada Majlis Berbuka Puasa kawasan Mukim Sukau yang melibatkan Kampung Gumantong Jaya, Kampung Sukau, Kampung Bilit, Terus Jaya dan PPMS Sukau, Saddi berkata, tanggungjawab yang diberikan kepadanya sebagai wakil rakyat di sini berusaha untuk meletakkan kehidupan rakyat tempatan menjadi lebih baik.

Bagaimanapun, tegas Saddi, keenganan rakyat tempatan untuk berdikari menjadikan peluang yang ada di sekitar mereka direbut oleh golongan lain.

Katanya, kehidupan sedemikian menjadikan rakyat tempatan terus ketinggalan dan tidak lagi dihormati, sedangkan tuntutan mendapatkan tanah bagi merubah ekonomi dan kehidupan keluarga mereka sebelum ini, sebahagiannya sudah ditunaikan pihak kerajaan.

“ Marilah kita pergunakan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan, lebih baik daripada seribu bulan ini sebagai asas memperbetulkan sikap, aqidah serta iltizam yang tinggi untuk kita merubah masa depan sebagai masyarakat Islam yang berkualiti kehidupan dunia dan akiratnya,” katanya kepada lebih 100 orang penduduk mewakili kampung-kampung terlibat dalam program itu.

Sikap buruk seperti dendam mendendam dan caci mencaci di kalangan penduduk setempat, katanya, perlu dihentikan kerana ianya sikap keji sedemikian amat bertentangan dengan ajaran Islam dan merupakan ciri-ciri kepada kehancuran institusi masyarakat.

Sebaliknya kerjasama yang elok di kalangan masyarakat di kawasan berkenaan, tambah Saddi, bukan saja mampu menjayakan bidang ekonomi yang boleh membawa keuntungan bersama, tetapi menangani masalah sosial dan pembangunan di kawasan berkenaan.

Katanya, kerjasama yang elok itu boleh menentukan kedudukan tapak baru sebuah bangunan masjid Kampung Gumantong Jaya yang lebih sesuai, diikuti kemudahan sekolah agama dan sebagainya di sini.

“ Jalinan erat antara penduduk ini boleh juga membantu memerangi gejala najis dadah yang pernah dilaporkan di kawasan ini. Kita mahu masa depan belia dalam Dun Sukau yang bukan saja memiliki moral tinggi, tetapi berdisplin dan sihat untuk menggalas tanggungjawab sebagai kumpulan pelapis kepimpinan negara,” katanya.

Saddi menjelaskan, keperluan peruntukan bagi pembinaan bangunan ibadah dan fardu ain di kawasan Gumantong Jaya akan diserahkan kepada kerajan di bawah peruntukan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diwujudkan kerajaan pusat di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar sebelum ini.

Pada majlis itu Saddi seperti biasanya akan menyampaikan sumbangan Zakat Fitrah Daripada pihak Tabung Zakat Sabah, diikuti sumbangan peribadi beliau kepada golongan kurang berkemampuan.

Saddi juga menyalurkan beberapa bantuan kemudahan bekalan seperti kemudahan zink dan tikar sembahyang, injin sangkut kepada penduduk di empat kampung berkenaan yang memerlukan.

Turut serta pada majlis itu ialah Imam Daerah Kinabatangan, Haji Jalpa Sani, pendakwah, Ust. Supian Bahrin, Ust. Harun dan kakitangan UPKR Sukau diketuai PKRnya, Sharin Haji Abdul Rahman.

1. Saddi dan rombongan disambut penduduk dengan ditabur beras kuning tanda kesyukuran setibanya di Kampung Dagat, Mukim Litang kira-kira 170km daripada Kota Kinabatangan.

2. Ketua Kampung Dagat, Aji Bin Salleh berucap mengalu-alukan ketibaan Saddi dan rombongan.


SUKAU : Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman berkata, sejumlah lebih RM8 juta nilai peruntukan pembangunan dipohon kepada kerajaan ke arah menjana taraf kehidupan rakyat di luar bandar di kawasan ini.

Beliau berkata, permohonan itu melibatkan tempoh akhir pembangunan Rancangan Malaysia Kesembilan dan awal Rancangan Malaysia Kesepuluh dikemukakan kepada kerajaan bagi usaha membela nasib dan penderitaan rakyat di kawasan ini yang memerlukan perubahan.

“ Saya amat sedih melihat penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh rakyat khususnya di bahagian pedalaman kawasan Dun Sukau. Mereka bukan saja masih kekurangan kemudahan asas seperti jalan, bekalan elektrik dan air, tetapi sumber mata pencarian ekonomi yang amat terhad,” katanya.

Berucap pada satu majlis Perjumpaan Bersama Rakyat di Kampung Dagat, kawasan kampung di Hilir Sungai Segama, kira-kira 170km dari Pekan Kota Kinabatangan, Saddi berkata, masyarakat pedalaman di Mukim Litang, Sukau itu amat memerlukan pembelaan.

Saddi berkata, walaupun sebahagian dari kampung itu menghadapi kekurangan penduduk ekoran masalah infrastruktur dan ekonomi di kawasan berkenaan, tetapi keadaan itu kembali berubah jika masalah tersebut dapat ditangani.

“ Manakala sebahagian lagi penduduk masih bertahan kerana semua kawasan kampung ini adalah penempatan tradisi dan mengharapkan pembelaan pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) berkaitan tanah milik serta masa depan ekonomi mereka, “ katanya.

Saddi menegaskan, rancangan pembelaan kerajaan pusat di bawah Program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang dikhususkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM5.5 bilion bagi tujuan pembangunan di kawasan Sabah dan Sarawak, sesuai membabitkan keperluan itu di Dun Sukau.

Katanya, ini kerana sebahagian dari kawasan pedalaman di sini belum lagi menikmati kemudahan bekalan elektrik, air dan sistem perhubungan jalan yang lebih baik sejak sekian lama.

“ Penduduk kampung bukan saja di lihat amat ketinggalan dan daif, tetapi pergerakan yang amat terbatas dalam mengembangkan bidang ekonomi, pendidikan dan meningkatkan taraf sosial mereka di persekitaran yang terasing ini.

“ Saya tidak boleh mengatakan setakat bersabar kepada mereka, tetapi semua pihak harus menggandakan peranan dalam menyelesaikan kemelut kemiskinan rakyat ini,” katanya dalam program itu yang turut disertai oleh rombongan UPKR Sukau diketuai Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sharin Haji Abdul Rahman.

Kampung Dagat, adalah salah satu dari empat buah kampung dalam Mukim Litang. Tiga lagi ialah Kampung Tidung, Sri Ganda dan Kamoung Litang yang didiami oleh lebih 500 penduduk. Pada pilihanraya Umum Ke 12 lepas lebih, 500 orang pengundi didaftarkan di Mukim ini yang berpusat di Kampung Litang.

Saddi mengambil masa dua hari satu malam berada di kawasan ini. Sebelum ke Dagat, beliau mengadakan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Darul Naim, Kampung Litang dan meninjau kehidupan masyarakat di Kampung Tidung yang jarak di antara satu kampung ini mengambil masa dua setengah jam perjalanan selain menelusuri anak sungai.

Kehadiran pertama Saddi ke sini zon ini sejak pilihanraya lalu menimbulkan pelbagai riaksi. Ada yang menyambut baik dan sebahagiannya tidak menduga. Namun Di Dagat rombongan ini ditabur beras kuning kerana inilah kunjungan pertama seorang Adun Sukau ke kampung terpencil itu.

Cubaan pertama Saddi ke sini sewaktu musim banjir lepas gagal kerana ketiadaan bantuan pengangkutan udara yang disediakan. Kisah itu dimaklumkannya kepada penduduk.

Saddi berkata lagi, pihak kerajaan dan agensi-agensinya, termasuk mewakili Pejabat Daerah Kinabatangan di sini harus memberikan perhatian mencukup terhadap keperluan rakyat di kawasan itu khususnya yang melibatkan bidang pertanian dan perikanan sebagai sumber utama ekonomi mereka.

Katanya, agensi berkaitan bukan saja boleh memberikan bantuan dan kemudahan kepada penduduk, tetapi mendidik mereka bagaimana mengembangkan bidang sosioekonomi, pendidikan, kebudayaan serta alam sekitar yang boleh mendatangkan keuntungan jangka panjang.

Kata Saddi, program menjana ekonomi yang mampu ditunjukkan oleh syarikat-syarikat ladang berhampiran kampung berkenaan adalah modul terbaik kepada penduduk meningkatkan taraf hidup mereka kea rah kemajuan kawasan pedalaman itu.

“ Saya merasa bangga kerana salah satu syarikat Ladang Hap Seng yang beroperasi di kawasan ini bukan saja menyediakan pekerjaan kepada penduduk dan belia kampung, tetapi menyediakan banyak kemudahan seperti pusat ibadah, pusat-pusat perkhidmatan, kemudahan sekolah dan rekriasi.

“ Ini satu contoh yang baik kepada syarikat ladang lain di negeri ini yang tidak memikirkan keuntungan operasi semata-mata,” katanya.

Beliau yang turut menasihat golongan belia supaya merebut peluang yang disediakan syarikat itu kemudian meluluskan beberapa permohonan mendesak penduduk di bawah peruntukan Adun.

Selesai.

Contohi Hap Seng Plantation dalam menjaga kebajikan pekerja - Saddi







Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman mencadangkan agar semua syarikat perladangan kelapa sawit beroperasi di sini mencontohi keupayaan syarikat Hap Seng Plantation Holding Berhad (HSPHB) dalam menjaga kepentingan dan kebajikan para pekerja.

Katanya, kesediaan HSPHB menyediakan kediaman dilengkapi bekalan elektrik dan air secara percuma kepada pekerja, diikuti kemudahan sukan dan rekriasi, selain kedai-kedai perkhidmatan melambangkan komitmennya kepada nasib dan kepentingan pekerja.

“ Hampir setiap daripada skim perladangan syarikat ini memiliki kemudahan berkenaan, ditambah dengan penyediaan gaji dan ganjaran perkhidmatan yang lebih baik mengikut kelayakan,

“ Saya menyifatkan langkah pembelaan dan mengutamakan pekerja ini punca kekuatan operasi syarikat ini sekian lama dan mampu berkembang pesat dalam sektor perladangan komoditi itu ke peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian, selepas melakukan pertemuan singkat dengan kakitangan pengurusan Ladang HSPHB di kawasan berhampiran Mukim Litang, di sini Khamis lepas.

Katanya, keupayaan syarikat conglomerate yang tersenarai di papan utama Bursha Saham Kuala Lumpur itu memiliki pusat penginapan dan padang golf sembilan lubang di kawasan berkenaan, melembangkan keprihatinannya kepada pekerja atasan yang memerlukan riadah.

Saddi merasa gembira kerana pekerja-pekerja tempatan dalam pelbagai ketegori yang sebahagiannya dari kawasan Dun Sukau telah menerima layanan baik sejak bertahun-tahun bersama syarikat itu.

Keupayaan yang dilakukan HSPHB itu, kata Saddi, hampir menyamai kemampuan agensi-agensi perladangan milik kerajaan negeri seperti Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) dan anak-anak syarikatnya, selain kemampuan besar yang sudah dicapai agensi pusat seperti Felda dan Felcra.

“ Apa yang saya harapkan, semakin banyak syarikat berbuat demikian di kawasan ini. Ia bukan saja untuk kebaikan pekerja syarikat berkenaan, tetapi turut membantu menjana sektor pelancongan di kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, wakil rakyat itu menyarankan belia-belia tempatan di luar bandar supaya tidak melepaskan peluang jika berpeluang bekerja di syarikat ladang berkenaan.

“ Syarikat seperti ini menguatamakan kepada prestasi dan kelayakan. Maka jika kita mampu menunjukkannya bukan mustahil untuk golongan ini mendapat tempat yang lebih baik di masa depan,”katanya.


ABAIKAN TANAH MUSNAHKAN MASA DEPAN KAMPUNG : YB. SADDI

LITANG : Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan sikap penduduk luar bandar beria-ia melindungi kampung tradisi tetapi mengabaikan tanggungjawab memajukan tanah hanya merugikan masa depan mereka.

Katanya, sikap sedemikian serta enggan memajukan sumber ekonomi yang ada membawa kepada kecenderungan penduduk menjual tanah dan meninggalkan kampung, semata-mata mencari kehidupan baru.

“ Perkara ini banyak terjadi di Kinabatangan yang akhirnya rakyat tempatan merempat di bumi sendiri kerana peluang yang ada sudah direbut dan dinikmati oleh masyarakat luar dan bangsa asing,” katanya.

Berucap pada majlis Berbuka Puasa Mukim Litang di Masjid Jannatun Naim di sini, Saddi berkata, sikap rakyat mempertahankan tanah mereka harus disemai dengan kesediaan memajukannya sebagai simbol jati diri penduduk.

Pada masa sama, tegas Saddi, rakyat di pedalaman Sukau itu perlu bangkit mengeksploitasi sumber yang ada samada melibatkan bidang pertanian, perikanan dan pelancongan yang masih terbuka luas dan membawa keuntungan kepada Dun Sukau.

” Apa yang saya saksikan sendiri di Litang ini masih banyak tanah terbiar yang belum dimajukan. Maka jangan lagi leka sebaliknya bangkit segera untuk merubah ekonomi terbuka luas.

“Kerajaan sedia membantu penduduk yang memerlukan bantuan,” katanya kepada lebih 70 penduduk di mukim itu yang berkesempatan hadir.

Kata Saddi lagi, kalaulah bukan kerana melindungi kampung-kampung tradisi di mukim ini, beliau akan mencadangkan kerajaan supaya satu penempatan baru dibuka, dilengkapi pelbagai kemudahan demi kebaikan mereka.

“ Tetapi kerana tuan-tuan sudah sekian lama memilih kehidupan seperti ini. Pergunakanlah sebaik mungkin dan bermakna kepada negara,” katanya.

Kesediaan menjadikan bidang pertanian dan perikanan sebagai sumber ekonomi dan perniagaan, menurut wakil rakyat itu, jelas Saddi, menepati aspirasi kerajaan supaya rakyat di luar bandar mengaharmonikan kehidupan ekonomi mereka dengan bidang berkenaan.

Tegas Saddi, kesediaan kerajaan memperuntukkan tanah lebih 1,000 ekar sebagai gazet Kampung Litang amat sesuai dijadikan pusat bidang bidang pertanian berskala besar yang mampu memajukan kampung..

“ Kawasan ini boleh dimajukan dengan segala jenis pertanian seperti padi, sayur-sayuran, buah-buahan dan apa saja yang melibatkan seluruh penduduk. Segala hasil tani dipasarkan untuk keuntungannya diagih samarata,” katanya.

Dalam pada itu, Saddi merayu individu yang tidak berkaitan dengan pembangunan tanah rakyat di kawasan ini supaya tidak mengambil kesempatan mengambilalih hak rakyat itu.

“ Adalah lebih baik jika mana-mana pihak berkenaan berkongsi peluang dan pelaburan dengan penduduk memajukan tanah berkenaan…Ia satu cara membimbing dan meningkatkan taraf hidup rakyat yang sekian lama terbiar dan mundur,”: katanya

Sempena bulan Ramadhan itu, Saddi mengingatkan masyarakat Islam di kawasan itu supaya bersatu padu demi kesinambungan perpaduan dan pembangunan rakyat yang turut disokong kerajaan.

“ Janganlah buruk memburuk antara satu dengan lain. Kerana budaya negatif ini hanya memecahbelahkan rakyat dan menghancurkan kepimpinan dan peranan kerajaan yang diberi mandat rakyat,” katanya.

Saddi kemudian menyampaikan bantuan zakat dan fakir miskin kepada sejumlah penduduk bersama Imam Daerah, Haji Wahab Alpa, kakitangan Unit PKR Dun Sukau diketuai Sharin Haji Abdul Rahman.

Selesai.

Caption gambar
1- Saddi meyampaikan sumbangan peribadi kepada Jamal Ahmad, 40an dan berjanji akan memperbaiki kediamannya yang usang

2- Inilah kediaman Jamal dimana Saddi sempat mengunjunginya di Kampung Tidung, dalam zon Litang.


KAMPUNG TIDUNG, HILIR SEGAMA (SUKAU): Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, kemerdekaan lebih bermakna kepada masyarakat luar bandar apabila mereka berjaya mengekslpoitasi kebebasan yang dinikmati dalam memajukan diri.

Kata Saddi, walaupun rakyat terus memilih untuk hidup di kawasan pedalaman, tetapi jika kehidupan mereka tidak dibatasi usaha mencari kemajuan di bidang ekonomi, pendidikan dan kemahiran diri, mereka tetap akan berjaya seperti sebilangan masyarakat dalam bandar.

“Sikap percaya kepada perinsip secubit boleh menjadi seggenggam dengan sikap penuh berusaha tidak mengira kita berada di mana juga. Yang penting kita mempunyai niat, misi dan visi serta matlamat untuk memajukan diri, keluarga dan masyarakat dalam segala bidang, tanpa mengira apa juga cabaran,” katanya ketika berucap dalam satu perjumpaan bersama rakyat di sini Khamis lepas.

Saddi berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa bersedia memberikan sokongan dan bantuan kepada rakyat di mana juga di negara ini, apalagi jika mereka menunjukkan sokongan, perpaduan dan kerjasama yang padu.

Selain kesediaan memberi pelbagai bantuan secara langsung dan tidak langsung terhadap program-program ekonomi rakyat di luar bandar, kata Saddi, kewujudan pelbagai prasarana meliputi soal pendidikan, kemudahan setempat, pusat beribadah dari kalangan masyarakat berbilang agama adalah bukti komitmen kerajaan sejak merdeka.

Wakil rakyat itu menegaskan, adalah menjadi impiannya untuk melihat perubahan pengisian kemerdekaan negara di sini melalui sikap kalangan rakyat yang bebas berfikir dan bertindak mengikut peradaban agar sealiran dengan program pembangunan yang terus dirancang dan dilaksanakan kerajaan, seiring konsep menuju sebuah negara maju.

Dalam konteks pembelaan kerajaan di kawasan Kampung Tidung, kata Saddi, pihak kerajaan sudah menyediakan banyak kemudahan di situ, walaupun sebahagian daripada masyarakat kaum tidung hanya berhijrah ke kawasan itu dalam jangkamasa lima tahun lalu.

“ Kesempatan pembangunan yang sudah mulai dimiliki ini membolehkan pemimpin masyarakat di kawasan ini seperti Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung berkhidmat lebih gigih supaya banyak kemajuan rakyat boleh dibawa ke kawasan ini.

“ Walaupun saya akui kawasan ini jauh di bandar, pengorbanan di antara sesama kita adalah makna di sebalik keberhasilan yang akan kita nikmati hasil kerjasama di antara penduduk dan pemimpin setempat…Inilah erti perjuangan bangsa!,” katanya di hadapan lebih 80 penduduk di kawasan letaknya lebih lima jam perjalanan darat dari bandar Sandakan itu.

Turut serta lawatan Saddi itu ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat Sukau (PKR), Sharin Haji Abdul Rahman, Amirudin Mohd Damit (CDO), Pastor Haji Mansor selaku Ketua Anak Negeri dan kakitangan Unit PKR kawasan itu. Ketua Kampung Tidung, Majid Tilang serta anggota badan JKKK Kampung itu turut hadir.


Sehubungan itu, Saddi mengulangi gesaannya agar semua pemimpin akar umbi dalam Dun Sukau supaya sentiasa berhubung dengan pihaknya untuk menjayakan program perancangan pembangunan dan ekonomi penduduk.

“ Ini saya tegaskan di sini sebahagian daripada kegagalan program ini kerana pemimpin setempat gagal memainkan peranan mereka terutama memberikan maklumat yang tepat dan lengkap, termasuklah kemudahan profail kampung yang boleh memudahkan semua pihak kerajaan melihat masalah pembangunan dan perancangan yang boleh dilaksanakan.

“ Konsep Satu Malaysia dengan keutamaan kepada rakyat dan pencapaian khidmat juga tidak akan bermakna jika pemimpin dan rakyat di akar umbi enggan memberikan kerjasama mereka kepada kerajaan dan wakil rakyat,” katanya.

Saddi kemudian menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada masyarakat Islam di kawasan itu sempena bulan Ramadhan.

Saddi mengajak semua Islam di kawasan itu khusuk mengerjakan ibadah puasa dan ajaran agama bagi mendapat magfirah (keampunan) dan keredahan daripada Allah SWT.

Selesai