Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Belia Pemangkin Transformasi Negara


Saddi menyampaikan ucapan
Saddi menyampaikan piala kepada Pasukan Belia Suan Lamba yang menjuarai kejohanan bolasepak anjuran Belia Suan Lamba di Dewan Serbaguna Suan Lamba pada malam Isnin
Yasli menyampaikan cenderhati kepada Saddi sambil diperhatikan Matmin, para pemimpin akar umbi di mukim Suan Lamba

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Dun Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, golongan belia mampu melakarkan  kejayaan yang lebih besar bagi  memenuhi  agendanya sebagai pencetus perubahan masyarakat dengan berpandukan sokongan padu kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini.

Beliau berkata, dengan bantuan dan sokongan padu kerajaan, golongan belia bukan saja mampu mencapai perubahan mantap samada berjaya di bidang sukan, sosio-ekonomi dan pembangunan setempat.

“Tetapi saya yakin dan percaya, dengan bimbingan padu kerajaan, golongan belia di seluruh tanah air mempunyai kedudukan yang cukup kondusif, beriltizam tinggi untuk sama-sama menggembleng segala harapan dan cita-cita kerajaan  sehingga kepimpinan negara beralih di tangan mereka,” katanya.

Berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Belia Suan Lamba di Dewan Serbaguna Suan Lamba di sini malam tadi, Saddi berkata, golongan belia di seluruh Dun Sukau mempunyai tanggungjawab yang serupa dengan kesediaan mereka berkerjasama dan  ‘berkongsi’ pemikiran dengan seluruh jentera kerajaan di kawasan ini.

Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah itu berkata, kerjasama sihat  antara kedua pihak pasti meletakkan banyak kemajuan golongan belia  yang sudah tertinggal di kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) ini tertumpu di bidang kemajuan berasaskan ilmu dan kemahiran.

Fokus golongan itu yang lebih besar, kata Saddi, ialah berkaitan soal memantapkan akidah,  mencakupi kehendak moral dan spiritual yang dianjurkan agama Islam agar masayarakat remaja dan belia di kawasan ini bebas daripada gejala yang tidak sihat seperti penyalahgunaan najis dadah.

Saddi berkata, semenjak lagi menerima mandat sebagai wakil rakyat empat tahun lalu, beliau amat mengharapkan kehadiran kumpulan-kumpulan belia yang proaktif serta berinovatif bagi memenuhi aspirasi kerajaan dan masyarakat dikawasan ini.

“Namun sehingga malam ini, saya begitu teruja dan kagum melihat sesuatu perubahan yang berlaku di kalangan golongan belia di kawasan Suan Lamba ini. Mereka bukan saja berani tampil dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang memberi faedah kepada masyarakat ini.

“Tetapi sedia berikrar untuk berkerjasama dengan pihak kerajaan dan saya untuk menjayakan sasaran pembangunan belia di kawasan ini. Saya ucapkan tahniah,” katanya kepada lebih 400 hadirin yang mewakili golongan belia dan beliawanis yang hadir pada majlis itu.

Turut hadir pada majlis itu dan menyampaikan ucapan,  Pengerusi Belia Suan Lamba, Yasli Aman Japar, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kinabatangan, Matmin Itin, diikuti para pemimpin peringkat akar umbi di mukim ini yang  terdiri dari ketua-ketua kampung dan para pengerusi JKKK.

Katanya, kesediaan Persatuan Belia Suan Lamba menganjurkan pelbagai aktiviti sukan seperti kejohanan bolasepak, badminton dan menganjurkan pertandingan nyanyian dewasa, terbuka dan kanak-kanak sempena majlis penyampaian hadiah kesukanan tersebut, membuktikan mereka berani dan ikhlas membantu kerajaan.

Saddi berkata, gesaan membangkitkan semangat belia seumpama itu turut beliau sampaikan kepada seluruh pimpinan dan badan belia di kawasan ini agar mereka turut bergerak menganjurkan aktiviti-aktiviti berfaedah untuk kebaikan bersama.

“Pada malam ini, walaupun Belia Suan Lamba baru dalam proses pendaftarannya, saya sumbangkan RM2,000 untuk menjayakan aktiviti belia di kawasan ini. Pemberian sedemikian juga kepada mana-mana badan belia di kampung lain yang sedia bangkit untuk menjayakan aktiviti mereka,” katanya.

Namun, kata Saddi, adalah amat berkesan jika setiap aktiviti penganjuran golongan belia itu turut disertai para pemimpin akar umbi setempat bagi memudahkan badan itu mendapat pelbagai pertolongan dan bantuan bagi menjayakan aktiviti mereka.

Saddi berkata, pengalamannya sebagai bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kinabatangan dan menganggotai beberapa pertubuhan belia sebelum ini  adalah  pendorong kuat kepadanya untuk memberi perhatian kepada  nasib dan dan masa depan golongan itu di kawasan ini.

“Saya tahu apa segala cita rasa, kehendak dan cabaran belia hari ini. Namun selagi mereka mahu berkerjasama dan menyampaikan secara jelas kehendak mereka, saya akan pastikan tanggungjawab memajukan belia dalam Dun Sukau akan saya lakukan selagi terdaya sampai bila-bila,” katanya.