Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Perkahwinan pasangan di Kampung Suan Lamba diserikan dengan kehadiran Calon BN

Saddi bersalaman dengan tetamu menghadiri majlis kahwin


Calon Barisan Nasional (BN) Sukau,  Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, formula kekuatan BN untuk terus kekal memerintah negara ini adalah dengan dasar parti dan sikap para pemimpinnya yang bersilih ganti mampu menunaikan janji serta tanggungjawab kepada seluruh rakyat yang memerlukan pembelaan.

Katanya, walaupun kerajaan menghadapi kesukaran untuk menunaikan permintaan secara sekaligus, tetapi tuntutan rakyat dapat diberikan berperingkat-peringkat di bawah konesp pengagihan kepada seluruh rakyat,  berasaskan dasar pembahagian ‘kek secara sama rata’  untuk rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Di dalam negara ini, tidak ada perbezaan antara rakyat. Mereka menerima pembelaan sama rata. Melainkan, mereka yang berusaha seperti berniaga dan memberikan tumpuan kepada bidang-bidang ekonomi yang berpotensi, pastinya akan mendapat kelebihan.

“Namun semua itu disediakan kerajaan. Rakyat termasuk di dalam Dun Sukau dan di Suan Lamba tidak akan terlepas peluang jika mereka berusaha dan mendapat peluang yang disediakan,” katanya.

Di minta untuk memberikan ucapan kempen beliau dalam satu majlis perkahwinan anggota keluarga Saudara Abdullah Japar di Suan Lamba di sini, Saddi berkata, usaha memajukan ekonomi secara berkelompok di Suan Lamba akan diteruskan selepas PRU 13.

Selagi beliau mendapat mandat rakyat kawasan itu pada pilihanraya umum ini, kata Saddi, usaha memperkasakan aktiviti ekonomi menerusi bidang pertanian di kawasan itu akan diperhebatkan.

Usaha itu, kata Saddi, meliputi tindakan pengeluaran geran-geran tanah kepada penduduk Skim Peneroka LKTNS di Suan Lamba yang mematuhi syarat pengeluaran geran berkenaan, selain perancangan-perancangan berkaitan yang memberikan kebaikan kepada rakyat kawasan itu.

Katanya, menaik taraf kemudahan jalan perhubungan rakyat di kawasan terlibat, selain menyegerakan program penyaluran bekalan air kepada rakyat menerusi projek penyediaan loji Air di Kampung Bilit adalah sebahagian daripada perancangan kerajaan BN di kawasan itu yang perlu ditunaikan.

“Saya bersyukur di mukim Suan Lamba ini, sebahagian besar rakyat telah mengakui kemampuan kerajaan serta ikhlas untuk mempastikan kemenangan besar  calon-calon BN Kinabatangan pada Pru ke 13 ini.


“Semuga mereka yang ikhlas berjuang demi rakyat, agama dan masa depan negara ini akan terus mendapat kebaikan dan manfaat daripada kerajaan. Hanya Allah SWT saja yang membalas jasa  dan kebaikan tuan-tuan,” katanya.

Saddi menyatakan rasa gembira dan terharunya, kerana majlis persandingan pasangan mempelai turut memberikan ruang kepadanya untuk berkempen yang sekaligus menunjukkan sokongan rakyat kepada BN dan beliau selaku calon parti yang bertanding di kawasan Dun Sukau.

“Saya memang tidak mengalami suasana kempen seperti hari ini dengan memberi ucapan di hadapan pasangan yang sedang bersanding di pelamin. Selain menyatakan terima kasih kepada tuan rumah, saya mendoakan kepada dua mempelai semuga terus bahagia hingga ke anak cucu,” katanya.