Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Kenapa Masjid Tun Juhar masih belum dibina walaupun telah diluluskan?

SUKAU:  Masyarakat akar umbi di sini menyuarakan desakan kepada Kerajaan negeri supaya memulakan pembinaan Masjid Tun Juhar di sini yang dianggarkan bernilai RM5 juta yang telah dijanjikan kepada mereka empat tahun lalu.

Menurut mereka, kegagalan dan kelewatan menyiapkan pusat ibadat tersebut bukan memberikan imej yang buruk kepada kemasyhuran kerajaan dan pemimpin di sebalik rancangan itu, tetapi dilihat sebagai penghalang kepada masa depan pembangunan tapak Pekan Baru Sukau yang sudah diluluskan kerajaan sebelum ini.

“Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin sendiri bersama Toh Puan telah turun padang bagi menyempurnakan majlis pecah tanah masjid berkenaan tiga tahun lalu dan dinamakan sempena nama beliau.

“Setahun sebelumnya, Ketua Menteri sendiri sudah mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi pembinaan masjid bersejarah itu.

“Namun yang sedihnya, setelah wakil rakyat kami, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman memperolehi peruntukan tambahan RM3 juta daripada kerajaan pusat bagi membesarkan pembinaan masjid tersebut, kemudahan ibadah yang menjadi lambang kemajuan masyarakat Islam seiring landskap baru ekonomi sempena kewujudan Pekan Baru ini masih belum dibina hari ini,” katanya, kata Pengerusi JKKK Kampung Sukau, Tarsah Ahaw.

Tarsah berkata, beberapa bulan lalu terdapat sejumlah jentera pembinaan dan pekerja sudah berada di tapak masjid tersebut untuk memulakan kerja-kerja pembinaan masjid tersebut. Ia sebaik saja tawaran tender pembinaan sudah dikeluarkan pihak kerajaan kepada pihak pemaju yang layak.

Malangnya kata Tarsah, semua jentera dan pekerja terlibat mengambil keputusan meninggalkan tapak tersebut tanpa alasan kukuh.

“Namun berdasarkan maklumat tertentu, penangguhan pembinaan masjid ini adalah kerana kos pembinaannya berhasrat dikurangkan oleh pihak tertentu kepada hanya RM3 juta.

“Tindakan seumpama ini tidak seharusnya berlaku. Ianya bukan saja sebagai satu penghinaan kepada masyarakat Islam di kawasan ini, tetapi kepada nama dan kedudukan Yang di-Pertua Negeri sebagai ketua agama Islam di negeri ini,” katanya sambil mendesak agar pihak kerajaan menyegerakan pembinaan masjid tersebut.

Ketua Kampung Sukau, Haji Saharon Haji Ahmad berkata, pihak tertentu dalam kerajaan yang diberi amanah dalam rancangan pembinaan masjid itu tidak harus berfikir jumud ke atas keputusan membina Masjid Tun Juhar bernilai RM5 juta itu.

“Ini kerana matlamat pembinaan ini bukan untuk kepentingan masyarakat Islam di kampung Sukau semata-mata. Tetapi ianya adalah sebuah masjid Dun Sukau bagi keperluan menjayakan program-program ibadah dan dakwah dan sebagainya sesuai dengan perkembangan Islam menerusi keujudan Pekan Baharu Sukau kelak,” katanya,

Di kawasan ini, kata Haji Saharon terdapat sejumlah besar masyarakat Islam yang mendudki beberapa kampung berhampiran, termasuklah mereka yang sedang bekerja di ladang-ladang kelapa sawit di persekitaran Kampung Sukau.

Sambil menegaskan tidak ada pihak yang boleh mempertikaikan banyak kemajuan yang sudah dibina yang akhirnya memberi kebaikan rakyat hari ini, Sharul berkata, Masjid Tun Juhar juga mampu berperanan bukan saja sebagai wadah dan lambang penyatuan masyarakat Islam di sini.

“Saya yakin Masjid Tun Juhar di kampung Sukau ini bakal menjadi pusat ilmu dan kemajuan dakwah bagi menjayakan modal kerohanian Islam kepada masyarakat terlibat.

“Semua ini sebahagiannya bermula dari ‘tangan’ pegawai yang beramanah, apalagi kerana keputusan sudah dibuat pimpinan (pihak umarah) bahawa bangunan ini telah diputuskan dan ditawarkan pembinaannya bernilai RM5 juta. Maka secara hukum Islam keputusan ini wajib dipatuhi,” katanya.

Bagi Ketua Kampung Mananggol, Khalid Damit menegaskan,  pegawai-pegawai kerajaan yang diberi amanah untuk menjayakan pembinaan masjid Tun Juhar itu tidak wajar untuk mempertikaikan soal ‘kapasiti’ penduduk Kampung Sukau yang kononnya agak kecil bakal menggunakan masjid itu kelak.

“Kalau soal masjid tidak ramai jamaah inilah alasan mereka hingga membawa kepada kelewatan dan  pengurangan kos pembinaannya, ia menunjukkan pegawai-pegawai itu sama sekali tidak mempunyai iltizam serta aspirasi dakwah bagi memperkasakan kedudukan dan masa depan Agama Islam di kawasan sekitar Pekan Baharu Sukau ini,” katanya.

Dengan bersetuju bahawa tindakan mengurangkan kos pembinaan masjid yang sudah dipersetujui itu merupakan satu dosa, Khalid meminta Ketua Menteri dan pihak Istana negeri campur tangan dalam menangani isu tersebut, demi kebaikan masyarakat Islam dalam DUN Sukau.

Imam Rawatib Masjid Nurul Iman Kampung Sukau, Suhaidi Muksin berkata, kerajaan negeri wajar menyegerakan pembinaan masjid Tun Juhar sekiranya peruntukan terkumpul RM5 juta sudahpun diperolehi daripada Kerajaan pusat dan negeri.

“Datuk Saddi selaku Adun Sukau telah melihat keperluan pusat ibadah itu dalam kawasan Pekan Baru Sukau secara jangka panjang.

“Sebelum ini juga pada musim sembahyang tarawaih, sunat Aidilfitri dan Aidiladha juga kemudahan ibadah di sini juga amat tidak menampung kepadatan jamaah yang datang dari segenap persekitaran kampung ini.

Maka tegas Suhaidi, Adun Sukau itu telah bekerja keras mendapatkan peruntukan RM3 juta daripada kerajaan pusat  bagi mempastikan kedudukan sebuah masjid yang telah mendapat peruntukan RM2 juta daripada Ketua Menteri pada Majlis Pecah Tanah Pekan Baru Sukau 24 Julai 2010,  akan menjadi kenyataan.

“Sayangnya, masih ada pihak khususnya pegawai-pegawai yang mendapat amanah gagal merealisasikan pembinaan rumah Allah itu demi kebaikan dan masa depan masyarakat Islam dalam Dun Sukau,” katanya.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dun Sukau, Amirudin Mohd Damit berkata, Datuk Saddi sudah menghebahkan kepada rakyat Dun Sukau akan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan BN dalam menjayakan cadangan pembinaan Masjidn Tun Juhar.


“Maka kami mengharapkan agar hasrat rakyat ini menjadi kenyataan tanpa kerajaan atau pihak tertentu sedia mengurangkan kos pembinaan rumah ibadah yang menjadi lambang kepada kemasyuran dan kemajuan masyarakat Islam di kawasan ini, seiring sokongan yang mereka berikan kepada kerajaan BN sekian lama,” katanya.