Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

ADUN Sukau gesa kemudahan bot Klinik Bergerak 1Malaysia dinaik taraf



ABAI 12 Feb - Kementerian Kesihatan digesa supaya menaik taraf kemudahan yang terdapat di dalam Klinik Bergerak 1Malaysia di Sungai Kinabatangan dekat sini yang telah beroperasi sejak Mei 2013.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman berkata, usaha itu perlu bagi memastikan fungsi perkhidmatan kesihatan itu mampu dimantapkan agar bersesuaian dengan keperluan rakyat di pesisiran sungai berkenaan.

"Kalau boleh, kita cadangkan supaya tahap kelajuan bot klinik itu ditingkatkan termasuk kemudahan peralatan kesihatan serta sokongan lain seperti anggota pasukan keselamatan," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat bot klinik bergerak terbabit di Mumiang, Sukau dekat sini hari ini.

Saddi yang juga Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah memberitahu, kekurangan-kekurangan yang masih dihadapi klinik itu menyebabkannya tidak mampu memenuhi jadual perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat."Contohnya, untuk perjalanan sungai dari Kampung Abai ke Kampung Sukau, ini memakan masa lebih enam jam dan perjalanan dari kampung di Bukit Garam ke Mumiang pula ambil masa sehingga 10 jam. "Sedangkan, jika guna bot laju, cuma memakan masa dua jam," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan anggota-anggota kesihatan yang menjalankan perkhidmatan melalui klinik bergerak terbabit."Mereka menjalankan perkhidmatan dengan gigih dan perkhidmatan ini sebenarnya memberi manfaat kepada rakyat setempat. Saya sendiri rasa bangga dengan keupayaan perkhidmatan itu," katanya.