Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Jawatan ini bukan untuk bermegah-megah - Saddi




SANDAKAN 11 Feb - Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, tanggungjawab melindungi dan melaksanakan tuntutan berkaitan hal ehwal anak negeri Sabah akan lebih terpelihara apabila setiap kakitangan jabatan itu mampu mendalami serta menghayati tanggungjawab masing-masing secara berkesan.

Jelas beliau, peranan dan tanggungjawab yang diberikan kepada Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dan Ketua Kampung akan menyerlahkan fungsi dan kuasa yang diberikan kerajaan kepada institusi perundangan hak dan adat istiadat berbilang kaum di negeri ini untuk dihormati dan diikuti semua lapisan rakyat.

“Malah pengiktirafan diberikan kerajaan dengan Majlis Hal Ehwal Anak Negeri yang bakal dijadikan sebuah jabatan bermula awal 2015, dengan sendirinya meletakkan jabatan ini mampu berdiri sebagai sebuah institusi perundangan setaraf dengan mahkamah syariah dan mahkamah sivil di negara ini,” katanya.

Menyatakan perkara itu ketika merasmikan Wakil Pejabat Hal Ehwal Anak Negeri Daerah Kinabatangan di Dewan Mahkamah Anak Negeri Sandakan di sini, Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa Sabah berkata, kewujudan pejabat itu akan mampu melindungi hak-hak dan adat istiadat masyarakat anak negeri yang tinggal di 16 buah kampung dalam Persisiran Pantai Dun Sukau, Daerah Kinabatangan.

“Saya mengharapkan dengan kewujudan pejabat ini serta pengiktirafan Majlis Hal Ehwal Anak Negeri menjadi sebuah jabatan akan menggandakan usaha dan tanggungjawab melindungi hak dan warisan berkaitan adat istiadat anak negeri dalam kawasan ini, termasuklah soal-soal mempertahankan tanah-tanah adat yang telah diwartakan kerajaan di kawasan ini,” katanya.

Katanya, beliau sendiri memberikan penghargaan khusus kepada kerajaan negeri apabila Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman mengumumkan secara rasmi penarafan jabatan ini pada pembentangan Bajet Negeri 2015 di Persidangan Dewan Undangan Negeri yang lepas.

Oleh itu, kata Saddi lagi, pejabat wakil jabatan itu perlu turut menjadikan tugas-tugas khas di bawah penarafan jabatan itu sebagai sebagai sebahagian daripada agen pembangunan dalam melindungi hak dan kepentingan seluruh rakyat asal (native) negeri Sabah.

“Langkah ini boleh menjadi satu mekanisma perubahan kepada usaha oleh lebih 4,000 penduduk nelayan di kawasan persisian pantai, diikuti rakyat di kawasan tanah besar Dun Sukau yang sudah memiliki sebuah pejabat pentadbiran majlis itu di Pejabat Daerah Kinabatangan,” katanya..

Sehubungan dengan itu, Saddi mengingatkan semua kakitangan Majlis Hal Ehwal Anak Negeri yang ditempatkan di sini dapat sentiasa dalam keadaan ‘peka’ dan adil, serta sentiasa berpandangan jauh bagi mempastikan khidmat mereka memberikan keyakinan kepada semua rakyat.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Tuan Haji Mohamad Hamsan Haji Awang Supain, Ketua Anak Negeri Kinabatangan Awang Ahmad dan Abdul Mad Said Abdul Karim, diikuti semua wakil Ketua Anak Negeri Daerah Kinabatangan serta kakitangan MAN Sandakan, Kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dun Sukau diketuai Encik Amirudin Mohd Damit dan CDO nya, Dasran Haji Dahalan.

Kata Saddi sebagai wakil rakyat yang mewakili masyarakat persisiran Pantai Dun Sukau, beliau akan terus mengikuti perkembangan akan fungsi wakil jabatan itu, di samping bersedia memberikan pertimbangan terhadap apa yang lakukan demi untuk kebaikan rakya, khususnya masyarakat anak negeri.

“Saya juga menasihatkan kepada ketua-ketua kampung dan para pengerusi JKKK supaya bekerjasama dan menghormati peranan serta tanggungjawab masing-masing yang diberikan kerajaan untuk membantu rakyat.

“Kerana jawatan ini bukan untuk bermegah-megah, tetapi memberikan pembelaan berasaskan kepada matlamat serta Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang digariskan oleh kerajaan termasuklah kepada pemimpin di peringkat akar umbi,” katanya.

Dalam pada itu, Hamsan menggesa semua kakitangan di bawah agensi itu supaya mematuhi segala peraturan yang ditetapkan termasuklah tanggungjawab merekodkan setiap kelahiran di dalam kawasan perkampungan masing-masing untuk tujuan mengumpul rekod kelahiran yang tepat sesebuah daerah setiap tahun.

“Antara lain pendaftaran ini akan memudahkan pihak perundangan untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana mana-mana individu yang mendawa bahawa mereka telah dilahiran di kampung dimaksudkan pada tarikh dan masa yang dinyatakan.

“Jika kita memiliki rekod sedemikian, tidak sukar untuk kita membuat semakan dan siasatan. Saya harap salinan ini dapat disimpan oleh Ketua-Ketua Kampung dan rekod ini perlu disimpan secara kemas hanya akan dibuka jika ianya diperlukan pihak kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta supaya pelbagai pihak memperbetulkan tanggapan bahawa pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) tidak ditafsirkan sebagai bersikap ‘acuh tak acuh’ terhadap kepentingan pembangunan dan ekonomi rakyat di kawasan persisiran pantai Daerah Kinabatangan.

“Kalau dulu ada tanggapan masyarakat persisir pantai sebagai ‘anak tiri’, tetapi sekarang ini sudah diperkasakan dan pastinya sudah menjadi ‘anak kandung’, yang semuanya ini berasaskan keupayaan memperbaiki tahap pentadbiran serta pemantauan pembangunan sosioekonomi rakyat terlibat,” katanya.