Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Saya berhasrat temui TPM rayu bangunan baru SMK Sukau



SUKAU 9 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman hari ini menyuaratkan hasratnya untuk menemui Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bagi mengemkakan rayuan terus kepada pemimpin itu berhubung nasib dan masa depan pembinaan bangunan baru SMK Sukau.

Saddi berkata, beliau membuat langkah muktamad itu bagi membolehkan Tan Sri Muhyidin yang juga Timbalan Perdana Menteri mendengar terus rintihan dan harapan rakyat Dun Sukau berhubung nasib dan kedudukan menengah itu yang amat daif dan uzur sejak keujudannya berpuluh tahun lalu.

“Pada saya SMK Sukau sudah benar-benar amat memerlukan pembelaan. Walaupun cadangan membina sebuah bangunan baru kongkrit dicadangkan sejak awal Rancangan Ma,aysia Ke Sembilan (RMK9) dan mendapat kelulusan beberapa tahun kemudian, tetapi sehingga kini masih belum menjadi kenyataan.

“Keadaan ini menyebabkan pelajar dan guru-guru bukan saja tidak mampu bersaing dengan sekolah-sekolah luar bandar yang lain, tetapi kedudukannya amatlah menyedihkan, lebih uzur dari sebuah sekolah rendah yang ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Majlis Penyampaian Bantuan Beg dan Pakaian Seragam Sekolah kepada lebh 100 orang pelajar SMK Sukau sumbangan Unit Tanggungjawab Sosial Korperat (SCR) Korperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah di dewan sekolah itu di sini, pagi Isnin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengetua SMK Sukau, Albert Bayoi para pemimpin Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, diikuti kakitangan kanan KPD dan kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat diketuai pegawai Pembangunan Masyarakatnya (CDO), Dasran Haji Dahalan dan Ketua Anak Negeri, Awang Ahmad Ongkang.

Saddi berkata, beliau merasa hairan kerana walaupun cadangan membina SMK Sukau itu sudahpun diluluskan dan menepati peruntukan beberapa tahun lalu, tetapi kelulusan dan peruntukan tersebut ditarik balik atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

“Padahal ketika itu, soal tapak membina bangunan SMK Sukau sudah disediakan oleh masyarakat setempat. Peruntukan juga telah disediakan, tetapi saya hairan mengapa projek yang memberikan keuntungan kepada masa depan pendidikan rakyat kawasan ini dibatalkan,” katanya.

Apa yang berlaku hingga hari ini, kata Pengerusi KPD itu, sekolah yang diduduki lebih 450 pelajar dan lebih 40 guru itu terpaksa melalui pelbagai cabaran menggunakan bangunan sekolah daripada kayu yang amat uzur.

“Saya difahamkan, para pelajar dan guru terus dalam keadaan yang tidak selesa dalam menimba ilmu, seterusnya bersaing dengan sekolah-sekolah lain dalam mendapatkan keputusan yang baik dalam setiap peperiksaan Pernilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak lebih 15 tahun lalu,” katanya.

Saddi berkata beliau telah membawa dan mengemukan nasib dan kedudukan sekolah itu ke Persidangan Dewan Undangan Negeri berulang kali bagi mendapatkan perhatian dan simpati daripada kerajaan pusat melalui peranan yang boleh dimainkan anggota Exco Pendidikan Negeri yang diwakilkan kepada Datuk Masidi Manjun, tetapi harapan mendapatkan bangunan baru SMK Sukau tetap tidak berjaya.

Katanya, cadangan menemui menteri pelajaran itu sudah menjadi pilihan terakhir beliau bagi menyelesaikan isu pembangunan pendidikan yang tertanggung itu.

Saddi berharap pertemuan dengan pemimpin No 1 dalam kementerian itu akan mendapat respon yang positif daripada pemimpin yang begitu terbilang dalam memperjuangkan masa depan pendidikan anak-anak dalam negara ini.

“Apa yang penting, saya berusaha melakukan tugas sebagai wakil rakyat sebaik mungkin mengatasi masalah ini. Selagi ada kepercayaan dan amanah rakyat, apalagi pelajar dan guru-guru terlibat, saya akan cuba melakukan yang terbaik demi masa depan pendidikan kawasan ini,” katanya.

Namun dalam pada itu, Saddi  memberikan pujian kepada guru-guru dan pelajar seterusnya pimpinan PIBG di sekolah itu kerana mereka sedaya upaya mengharungi segala cabaran itu untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Mengenai tanggungjawab sosial KPD sebagai sebuah badan pelaburan kerajaan negeri itu, Saddi berkata, beliau memberikan sumbangan beg sekolah dan pakaian seragam tersebut sebagai menghargai sokongan yang diberikan rakyat di kawasan itu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, walaupun bantuan berkenaan hanya dikhususkan kepada golongan ibu bapa yang kurang berkemampuan, tetapi ianya dilakukan semata-mata memberikan dorongan dan penghargaan kepada ibu bapa dan pelajar terhadap komitem mereka memajukan pelajaran di kawasan itu.

“Saya turut mengajak syarikat-syarikat Badan Berkaitan Kerajaan (GLC) apalagi yang turut membuka cadangan di daerah Kinabatangan supaya sudi memberikan bantuan kerana masih ramai lagi rakyat yang memerlukan perhatian dan pembelaan mereka, apalagi berkaitan usaha memajukan bidang pendidikan,” kata Saddi.