Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Sabah dicadang pinda Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1951

KOTA KINABALU 15 APRIL - Kerajaan diminta mengkaji semula Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Negeri Sabah 1951 (Bab 123) mengenai keperluam mendapatkan pengesahan daripada Mahkamah Majistret bagi kes daftar lewat kelahiran.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, pindaan itu dilihat mampu menyelesaikan masalah pertambahan kes warga Sabah khususnya di luar bandar yang belum mempunyai sijil kelahiran.

Katanya, peraturan yang digunapakai ketika ini mewajibkan pemohon mendapatkan perakuan Makhamah Majistret sebelum dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi pengeluaran Sijil Kelahiran Daftar Lewat.

"Sebaiknya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diberi kuasa penuh untuk memberi perakuan kerana mereka mempunyai kepakaran dalam perkara itu, malah ia dilihat memudahkan kelulusan bagi pemohon.

"Namun, sekiranya cadangan ini tidak diterima. Saya mencadangkan Pegawai daerah di Sabah yang setaraf kedudukannya dengan Majistret Kelas Dua diberikan kuasa memberikan perakuan bagi mewakili pihak mahkamah", katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan bahas sempena Persidangan DUN Sabah yang memasuki hari ke-3 di sini pada rabu. 

Saddi berkata, peraturan sedia ada dilihat menimbulkan banyak kesulitan kepada pemohon kerana ada yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan perakuan daripada Mahkamah Majistret.

"Kebanyakan kes mendapatkan perakuan ini memakan masa agak lama dan ada yang terpaksa menunggu hampir lima tahun semata-mata untuk mendapatkan keputusan mahkamah sedangkan dokumen kelahiran ini amat penting.

"Situasi ini menyebabkan bilangan pemohon surat lahir lewat ini terus bertambah dan meningkat sekali ganda jumlahnya di Mahkamah Sivil di seluruh negeri," katanya.

Saddi berkata, bagi kes daftar lewat di kawasannya. Rekod menunjukkan terdapat lebih 2,000 kes pemohon dokumen kewarganegaraan yang cuba diselesaikan Mahkamah Anak Negeri Kinabatangan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 950 kes merupakan permohonan untuk Sijil Kelahiran Lewat manakala 600 kes masih menunggu panggilan temuduga mahkamah sivil bagi pengeluaran MyKad.

Untuk makluman, kegagalan masyarakat di DUN Sukau untuk memperolehi dokumen sijil lahir dan MyKad berpunca daripada beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan seperti kedudukan sebahagian penduduk yang tinggal jauh di kawasan pedalaman.

"Malah kebanyakan juga tidak memiliki pekerjaan tetap dan hanya bekerja kampung untuk menampung keluarga hingga menyukarkan mereka untuk membiaya pelbagai kos bagi pengurusan.

"Selain itu, sebahagian besar kampung-kampung di pedalaman Sukau sehingga hari ini masih belum memiliki kemudahan klinik kerajaan hingga menyebabkan ibu-ibu yang ingin bersalin terpaksa mendapatkan khidmat bidan kampung, katanya"

"Katanya, apa yang paling menyedihkan beliau akibat daripada pelbagai kesulitan  itu, ramai rakyat di kawasannya tidak dapat melanjutkan pelajaran berikutan ketiadaan dokumen sijil kelahiran tersebut.

Beliau berkata, peraturan ketet bagi mendapatkan sijil lahir itu telah menjejaskan masa deoan kanak-kanak tempatan yang dilihat telah dinafikan status kerakyatan mereka sedangkan sebahagiannya berpunca daripada kelemahan kerajaan menyediakan kemudahan asas.