Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

10 peratus dari cukai kelapa sawit Kinabatangan mampu bangunkan Sukau - Saddi



SUKAU 11 JULAI - Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi haji Abdul Rahman menegaskan, keupayaan Daerah Kinabatangan mengeluarkan hasil cukai pengeluaran kelapa sawit kira-kira RM 300 juta setahun mewajarkan daerah ini meraih projek pembangunan sekurang-kurangnya 10 peratus atau 30 juta setahun.

Beliau berkata, agihan pendapatan cukai itu boleh menampung program pembangunan daerah ini khususnya dalam Dun Sukau yang masih ketinggalan seperti menaiktaraf jalan-jalan kampung, penyediaan bekalan air dan api letrik yang masih belum dapat ditingkatkan di kawasan-kawasan terpencil dalam daerah ini.

“ Antara lain juga nilai peruntukan seperti ini mampu mengembangkan program pembangunan dalam Projek Pekan Baharu Sukau, Bandar Bio Diversiti yang tapak pembangunannya sudah diluluskan Ketua Menteri menerusi majlis pecah tanahnya 24 Julai tahun 2010,” kata Saddi.

Saddi menyatakan demikian ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa dan Menyampaikan Sumbangan Zakat dan bantuan kepada 600 orang asnaf di Perkarangan Majlis Daerah Kinabatangan di sini pada Jumaat.

Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa Sabah (KPD) berkata,  perolehan hasil cukai kelapa sawit RM300 juta yang diperlolehi oleh kerajaan negeri itu, merupakan sebahagian dari sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daerah ini, di samping bidang pelancongan dan cukai-cukai perniagaan dan sess yang berkembang di daerah ini sejak puluhan tahun lalu.

“ Saya pernah bertanyakan kepada Sidang DUN Sabah suatu ketika dulu tentang berapakah nilai cukai kelapa sawit yang diperolehi daripada Daerah Kinabatangan, khususnya dalam DUN Sukau yang kita duduki dan perjuangkan pembangunannya ini.

“ Maka menteri kewangan menjawab jumlahnya kira-kira RM300 juta setahun, sebahagian daripada perolehan cukai tahunan dalam negeri Sabah,” kata Saddi.

Tentunya, kata wakil rakyat tersebut perolehan itu akan dikembalikan semula kepada program pembangunan rakyat selain untuk pengurusan kerajaan.

Tetapi tidak keterlaluan, kata Saddi  jika 10 peratus darinya atau RM30 juta  dapat dikembalikan ke kawasan ini setahun untuk tujuan pembangunan rakyat yang masih jauh ketinggalan.

Saddi menegaskan, walaupun beliau antara kalangan wakil-wakil rakyat yang terus berusaha gigih mendapatkan peruntukan pembangunan, tetapi kawasan DUN Sukau yang turut ditadbir oleh dua pejabat pentadbiran daerah itu iaitu Pejabat Daerah Kinabatangan di Bukit Garam dan Majlis Perbandaran Sandakan masih jauh ketinggalan.

Katanya selain tumpuan pembelaan terus diberikan kepada 27 buah kampung yang ditadbir di bawah Pejabat Daerah Kinabatangan, tumpuan perlu dimantapkan ke atas 16 buah kampung berdaftar dalam Persisiran Pantai Dun Sukau yang ditadbir MPS, rata-ratanya belum memiliki  kemudahan asas, serta program pembangunan sosio-ekonomi penduduk secara berpanjangan.

“ Maka kita tidak ada jalan pintas terus berusaha mendapatkan perhatian dan pembelaan daripada kerajaan, apalagi dengan usaha merancakkan pembangunan Pekan Baharu Sukau yang diharapkan mampu menjadi kenyataan pada tahun 2020, hanya lima tahun dari sekarang,” kata Saddi.

Sambil menegaskan, cadangan mengujudkan Jambatan Kedua menghubungkan Pekan itu dengan kampung-kampung di mukim Litang serta Daerah Lahad Datu hingga ke Tawau akan membuka laluan ekonomi baru rakyat di kawasan ini secara berterusan., Saddi berharap projek yang diluluskan kerajaan pusat dapat dimulakan awal Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11).

Dalam ucapannya itu, Saddi meminta supaya pemimpin di peringkat akar umbi termasuk Pengerusi-Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung di kawasan Dun Sukau dapat membulatkan iltizam memajukan pembangunan kampung bersama-sama rakyat.

“ Selain melihat kepada peluang-peluang ekonomi yang ada, pastikan kerjasama ini boleh memperkuatkan langkah-langkah keselamatan kampung agar bukan saja bebas daripada aktiviti jenayah dan sebagainya, tetapi hasutan dan adu domba yang terus dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.