Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Pelantikan MDN sebagai TPM beri momentum baru kepada ESSZONE





SUKAU 1 OGOS:  Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menyifatkan perlantikan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri mampu meningkatkan pengawasan kedaulatan keselamatan di negara ini terutamanya di sepuluh kawasan ESSZONE seluas 1,773.7 kilometer di Sabah.

Katanya, perlantikan tersebut bukan saja mampu mengembalikan nilai integriti dan keunggilan semua agensi dalam kementerian itu termasuk Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun mampu mengembalikan keyakinan seluruh rakyat terhadap pengawasan keselaatan dalam negara.

“ Dalam konteks Sabah, saya yakin 10 kawasan Esszone termasuk kawasan Persisiran Pantai Dun Sukau dalam daerah Kinabatangan, serta kawasan-kawasan berhampiran mendapat keyakinan baharu terutama dalam mempastikan penduduk tempatan bebas daripada dibolosi penjenayah dan penculik sebagaimana insiden pencerobohan pengganas di Tanduo dua tahun lalu.

“ Saya secara peribadi mengenali Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana ketika beliau menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, saya juga adalah seorang Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kinabatangan dan kami mempunyai hubungan baik,” katanya.

Saddi berkata demikian memberi ucapan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2015 anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan di Kota Kinabatangan di sini pada malam Sabtu.  Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Supt Sahak Rahmat,  Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hamzah Ahmad, Ketua Cawangan Khas IPD Kinabatangan, Marcos Andy Lawrence Muhi, Penolong Pegawai Daerah Kinabatangan, Bahagian pembangunan, Madinin Jinin dan Ketua Daerah Kinabatangan, Haji Hamidin Radin kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan serta penduduk sekitar kawasan itu di perkarangan IPD berkenaan.

Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dun Sukau, Amirudin Mohd Damit, Pegawai Pembangunan Masyarakat Dun Sukau, Dasran Haji Dahalan serta Ketua Anak Negeri Awang Ahmad Haji Ongkang serta Abdul Said Karim.

Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa Sabah turut menyifatkan hubungan lama antaranya dan Timbalan Perdana Menteri baharu itu boleh membantu dalam mengetengahkan lagi isu-isu keselamatan di kawasan DUN Sukau, khususnya berkaitan penambahan infrastruktur keselamatan yang masih amat diperlukan.

“ Saya penuh yakin hubungan baik ini boleh membantu kita dalam mengusulkan permohonan-permohonan yang boleh membantu memantapkan lagi tahap pengawasan keselamatan dalam Daerah Kinabatangan ini khususnya, seterusnya memberikan jaminan kepada rakyat tentang keseriusan kerajaan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kedaulatan keselamatan negara dan rakyat,” katanya.

Saddi melahirkan rasa gembira kerana kedudukan tahap keselamatan dalam Daerah Kinabatangan berada di tahap baik, sebagaimana disampaikan Supt Sahak dalam ucapannya, menggambarkan bahawa kawasan ini bebas daripada anasir kehadiran pengganas dan jenayah-jenayah kekeraasan sepanjang tahun ini.
 
Sudah tentu keupayaaan tersebut, kata Saddi, adalah berasaskan kepada kerja keras seluruh anggota pasukan keselamatan termasuk pasukan polis dan tentera yang terus mampu mengawal kedaulatan dalam dan luar negara ini.

Saddi juga memberikan pujian kepada usaha IPD Kinabatangan menganjurkan majlis rumah terbuka aidilfitri itu dapat meningkatkan lagi hubungan baik di antara pasukan polis dan masyarakat setempat dalam usaha ‘menghapuskan’ segala cubaan dan aktiviti jenayah di seluruh pelusuk daerah itu.

Sementara itu,  Supt Sahak berkata, kesungguhan rakyat dalam daerah ini memberikan kerjasama dengan pasukan polis menjadi salah satu kejayaan Indeks Petunjuk Prestasi ( KPI) pasukan Polis daerah itu.


“ Saya gembira usaha turut dapat digambarkan menerusi penyertaan rakyat dalam menghadiri rumah terbukan daerah ini,” katanya.