Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Sambut baik usaha wakil rakyat pertahan tanah rakyat Usuk Subak, Sukau.



SUKAU 20 OKTOBER :    Seorang ketua pemohon tanah di Usuk Subak di Kampung Sukau di sini, Katip Haji Kusoi menyatakan penghargaan kepada wakil rakyat kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman kerana bersungguh-sungguh memperjuangkan sebidang tanah bagi membolehkan mereka memulakan penghidupan baru di kawasan itu.

Katip berkata,  wakil rakyat tersebut bukan saja berusaha gigih mempastikan mereka sebagai kumpulan penduduk yang pernah dikenakan tindakan diusir oleh Mahkamah Tinggi Sandakan kerana mendiami tanah milik seorang individu di Kampung Sukau dua tahun lalu.

“ Tetapi Datuk Saddi turut berusaha gigih untuk mempastikan sekumpulan individu yang dikenalpasti meneroka secara haram di kawasan Usuk Subak dapat ditangani secara baik, seterusnya meninggalkan kawasan tersebut,” katanya.
Menyatakan perkara itu ketika bersama-sama Datuk Saddi melakukan tinjauan ke kawasan tanah berkenaan pada Selasa, Katip berkata, beliau amat bersetuju dengan langkah-langkah yang diambil wakil rakyat itu dan pihak Jabatan Tanah dan Ukur bagi menangani isu pendudukan secara haram di kawasan tanah tersebut.

Yang jelas, kata Katip, sejumlah lebih 30 buah keluarga yang terlibat dalam pengusiran mahkamah itu amat berasa bangga dengan kesungguhan wakil rakyat tersebut mencari sebuah kawasan tanah bagi menempatkan keluarga terlibat memulakan penghidupan baru.

“ Semua anggota keluarga terlibat sudahpun bersiap-siap untuk pindah ke kawasan tanah ini bagi memulakan aktiviti pertanian, sebaik saja pihak kerajaan telah membenarkan mereka berbuat demikian.

“ Namun kami berterima kasih kepada Datuk Saddi Haji Abdul Rahman kerana benar-benar serius dalam mempastikan penduduk Sukau yang terlibat dalam hukuman pengusiran oleh mahkamah tinggi daerah itu mendapat pembelaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Anak Negeri Kinabatangan, Awang Ahmad Haji Ongkang menegaskan, campurtangan pihak berkuasa keselamatan termasuk pembabitan pihak Keselamatan Khas Pantai Timur (Esscom)  amat wajar diambil dalam  membantu menangani isu pencerobohan tanah secara haram di kawasan itu.

“ Sebagaimana yang turut disarankan Datuk Saddi minggu lepas, langkah penggunaan pihak berkuasa keselamatan sedemikian menangani isu pencerobohan di kawasan ini serta di seluruh Kinabatangan amat tepat, demi tujuan melindungi hak rakyat tempatan yang telah diberi mandat dan layak menduduki kawasan tanah tersebut,” katanya.

Mahkamah Anak Negeri Kinabatangan, kata Awang Ahmad turut memuji langkah diambil wakil rakyat serta agensi-agensi terlibat menangani isu pencerobohan di Kampung Usuk Subak, sebagai satu bukti kesungguhan pihak berkuasa melindungi hak tanah rakyat, selain ianya merupakan pengajaran kepada pihak tertentu yang sebenarnya masih berdegil tetapi ternyata tidak layak memiliki  tanah berstatus NT (Native Title) di daerah ini.